STUDY GROUP FRIEND'S

Sunday 24 November 2013

Ammar Dikau Di Ingati

credit by : Abu Akhyar Al-Qudsi

Memang saya tidak tertahan untuk tidak menulis mengenai Ammar, maafkan saya. Tapi kali ini atas permintaan istimewa naqib kami yang kami kasihi iaitu Sami Yıldırım, juga sebagai guru Risalah an-Nur kami di Madrasah hayrat vakfi, untuk menyampaikan mesej #letsfollowammar kepada seluruh rakyat Malaysia. Sami Yildirim dalam Organisasi Hayrat Vakfi Turki adalah seorang Vakif iaitu orang yang mewakafkan keseluruhan dirinya untuk Dakwah, dan di dalam Organisasi hayrat beliau diamanahkan untuk menjaga pelajar2 antarabangsa di Turki yang diamanahkan di bawah penjagaan Hayrât Vakfı.

Berikut ialah mesejnya yang saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu:

Guru Ammar di Yayasan Hayrat berkata: seluruh rakyat Malaysia baik yang tua, yang muda, kanak-kanak, lelaki mahupun wanita, mestilah mengikuti dan mencontohi apa yang telah Ammar ikuti. Iaitu (pengajian) Risalah an-Nur.

Untuk membentuk Ammar ini terdapat tiga jenis pembentukan sebagai pakej, iaitu:

1)            Pembentukan intelek
2)            Pembentukan ruhani/jiwa
3)            Pembentukan akhlak/sahsiah

Kecemerlangan akademik sahaja tidak sempurna malah tidak bermakna sekiranya kontang ruhani dan miskin akhlak.

Maka madrasah inilah yang telah dicadangkan oleh ayahanda Ammar, sebagai pelengkap pakej pembentukan peribadi Ammar, di mana saya juga turut tumpang sekaki.

Tidak adil di dalam memberikan penghargaan semata2 kepada Universiti Marmara selain memberi penghargaan kepada Madrasah Hayrat. Universiti marmara hanya memberikan keperluan akademik, sedangkan di Turki, madrasah inilah yang menyediakan dua lagi keperluan yang lain. Setelah kesemua keperluan tersebut terlebih awal diberikan asasnya oleh institusi keluarganya di Malaysia.

Selain daripada rutin2 harian yang telah saya sebut pada posting yang lepas, pengajian utama ialah pengajian kitab Risalah an-Nur, yang terdiri daripada beberapa koleksi kitab yang ditulis oleh Imam besar di abad ini, dan dianggap sebagai mujaddid, iaitu Imam Bediuzzaman Said Nursi. Ketika kitab ini ditulis, iman masyarakat telah hancur kerana Ruh Islam pada waktu itu telah dicabut oleh Mustafa Kamal Attarturk, dan Imam Bediuzzaman Said Nursi pada ketika itu telah cuba menyembuhkan dan merawat keadaan ini dengan menulis Risalah an-Nur yang merupakan penawar daripada konsep-konsep Al-Quran, walaupun beliau terpenjara di penjara Mustafa Kamal Attarturk, dan ketika matinya jasad beliau turut dirampas oleh tentera Attarturk sehinggakan sehingga kini tiada diketahui di manakah tersembunyinya jasad beliau. Kata-kata popular Imam Bediuzzaman Said Nursi seperti berikut: "Demi menyelamatkan Iman masyarakat, aku telah mengorbankan kehidupan dunia dan akhiratku. Kerana, iman itulah tiang utama masyarakat Islam; kalau itu tiada maknanya, masyarakat pun runtuh".

Ammar pula merupakan penuntut yang tekun dan rajin. Bukan sahaja tekun mendalami ilmu sejarah Uthmaniah di Universiti Marmara, tetapi juga tekun di dalam mempelajari dan menghayati pembelajaran Kitab Risalah an-Nur di Madrasah Hayrat.

Pernah satu kali Ammar selepas tamat peperiksaan akhir di Marmara Universiti, Ammar telah "mengkuarantinkan" dirinya selama seminggu di Madrasah Hayrat di Suleymeniyye tempat saya menginap, untuk benar-benar menekuni dan memahami Kitab Risalah An-Nur, kerana pada waktu itu Ammar akan menjalani pula peperiksaan lisan, yang akan mengujinya pada waktu itu ialah Sami Yildirim.

Hairan saya dengan Ammar, kerana pemuda2 seperti dia tentunya mahukan kebebasan, dan kebiasaannya pelajar2 universiti apabila tamat peperiksaan bermakna tempoh bersuka ria telah bermula, tetapi tidak bagi Ammar, yang mana tempoh tersebut adalah tempoh menelaah Risalah an-Nur dan berbakti pada umat.

Di Madrasah ini, saya selalu menyebut padanya bahawa Ammar lebih Turki daripada orang2 Turki, kerana pencapaiannya sentiasa lebih baik dan lebih cemerlang berbanding orang2 Turki. Malah di dalam beberapa ketika pencapaian Ammar ialah sempurna iaitu 100% sedangkan orang Turki sendiri tidak dapat mencapai taraf kesempurnaan tersebut apatah lagi bukan orang Turki.

Dan saya bertambah yakin ciri2 pembentukan al-Fateh ada di sini dan Ammar sedang laluinya. Sepertimana saya telah sebut pada posting sebelum ini, terdapat dua watak pada dirinya, iaitu watak al-Fateh dan watak Abu Ayyub al-Ansori. Ya Ammarlah Al-Fateh tersebut (pembuka) yang akan membuka dan menghidupkan jiwa2 yang lain, dan watak Abu Ayyub sebagai perintis kepada laluan tersebut.

Adindaku Ahmad Ammar, kini aku bahagia kerana engkau menghidupkan semangat pemuda-pemuda yang lain. Berbahagialah engkau di sana bersama bidadari Syurga idamanmu.

No comments: