Aku begitu kagum dengan perjuangan mempertahankan aqidah
Islam oleh Imam Badiuzzaman Said Nursi ketika Turki dipaksa menganut faham
Sekularisme melampau sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Tulisan Arab Uthmani
(Osmanlica) ditukar ke tulisan rumi bagi memutuskan sebarang kaitan Turki moden
dengan sejarah keagungan Khilafah Uthmaniyyah. Agama Islam dianggap sebagai
musuh agenda pembangunan Turki.
Tika itu Imam Badiuzzaman Said Nursi berjuang mempertahankan
aqidah umat dengan menulis Risalah an Nur sebuah kitab tafsir Al-Quran bersifat
maudhu'i dan tauhidik bagi memberi perangsang kepada umat Turki untuk terus
tetap mempertahankan Islam hatta sanggup berkorban nyawa sekalipun.
Memang banyak Jamaah yang memperjuangkan pemikiran Imam
Badiuzzaman Said Nursi melalui Risalah an Nur, tetapi aku memilih Jamaah Hayrat
untuk Ahmad Ammar kerana setelah ku selidiki jalur perjuangan dan
kepemimpinannya jelas dari amanah dan wasiat Imam Badiuzzaman Said Nursi. Hoca
(baca Hoja) Said Nuri yang memimpin sekarang menyambung amanah dari Hoca Ahmet
Husrev Effendi yang terdahulu menerima amanah dari Imam Badiuzzaman Said Nursi.
Aku masukkan Ammar mengikuti Madrasah Jamaah Hayrat di
Malaysia sebaik saja tamat peperiksaan SPM untuk mengikuti pengajian Risalah an
Nur dan belajar Bahasa Turki. Jamaah Hayrat menekankan soal tauhid, akhlak dan
khidmat untuk Islam. Tingkat yang paling tinggi di kalangan ahlinya ialah
mewaqafkan diri seluruhnya untuk Islam.
Juga Jamaah Hayrat mementingkan untuk mempelajari tulisan
Arab Uthmani agar setiap pelajarnya dapat menggali semula khazanah Uthmaniyyah
yang tidak mampu lagi dibaca oleh Generasi muda Turki.
Inilah wawasan akhirat ku untuk Ammar. Beliau telah
melaluinya dengan amat cemerlang sekali sehingga dipanggil segera oleh ALlah
ta'ala ke pangkuanNYA kerana kesungguhannya mendekati ALlah ta'ala.
Bersambung.....
Surabaya, Jawa Timur 26/11/2013.
-Ahmad Azam Ab Rahman (AA) with Nur Azlina
No comments:
Post a Comment